Isnin, 16 November 2009

SELAMAT MENGHADAPI SPM

Esok Rabu, 18 November 2009 akan bermula peperiksaan SPM dan akan berakhir pada 8 Disember 2009. Dengan ingatan tulus ikhlas dan harapan yang tinggi saya ucapkan selamat menghadapi peperiksaan SPM kepada anak saya Hafizuddin dan kepada semua calon dari STAR. Didoakan semoga anak-anak hadapi peperiksaan ini dengan penuh yakin, jawab soalan dengan tenang dan tekun supaya dapat menghasilkan keputusan yang sangat cemerlang. Selamat maju jaya.

Sepanjang tahun ini banyak program/aktiviti yang telah dijalankan untuk membantu pelajar-pelajar STAR membuat persediaan ke arah mencapai kecemerlangan. Antaranya adalah seperti berikut:
3.10.2009: Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat
8-17.9.2009
: Program Perfect Score STAR
5.9.2009: Seminar dan Bengkel Fizik
25-26.7.2009: Seminar dan Bengkel Kimia dan Fizik (Smart n Easy)
11-12.7.2009: Seminar dan Bengkel Biologi
11.7.2009: Program Bersama Waris
29 Jun - 6 Nov 2009: Program Prep Terancang
29 Mei - 1 Jun 2009: Kelas Intensif Masa Cuti
24-26.4.2009: Bengkel Pengukuhan Asas
20-22.2.2009: Seminar Teknik Menjawab Soalan
16.2.2009: Ceramah Motovasi Bersama STAROBA
Diharap semua program yang dijalankan ini dapat membantu dan memberikan impak yang besar bagi merealisasikan kecemerlangan yang diharapkan dalam SPM nanti.


Sabtu, 5 September 2009

Program Bersama Waris

Mesyuarat AJK PIBG dipengerusikan oleh En. Hamdan (YDP)

Sesi perbincangan ibu bapa dengan guru

Program Bersama Waris telah diadakan pada 11 Julai 2009. Ibu bapa pelajar tingkatan 3 dan 5 telah dijemput ke sekolah untuk berbincang dengan guru-guru berkaitan prestasi akademik anak-anak mereka berdasarkan keputusan peperiksaan pertengahan tahun dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Pada hari yang sama juga diadakan mesyuarat AJK PIBG untuk membincangkan pelbagai perkara terutamanya berkaitan aktiviti PIBG dan program sekolah.

Jumaat, 5 Jun 2009

STAR DIIKTIRAF SEKOLAH KLUSTER



Sekolah Tuanku Abdul Rahman kini sudah sah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. Majlis Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 3 Tahun 2009 telah disempurnakan oleh Dato' Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada 3 Jun 2009 di Hotel Federal, Kuala Lumpur.
Sijil Pengiktirafan STAR sebagai Sekolah Kluster telah diterima oleh Cikgu Mohd Zabidi bin Nordin yang mewakili Pengetua dalam majlis tersebut. Diharap dengan pengiktirafan ini dan peruntukan kewangan yang bakal diterima dapat melonjakkan kecemerlangan STAR dalam bidang kebitaraan yang bakal dipilih.
Selepas ini pihak pentadbiran STAR dan guru-guru akan berbincang untuk menyediakan Pelan Strategik untuk melaksanakan program kecemerlangan. Kita diminta menetapkan satu bidang akademik dan satu bidang kokurikulum sebagai niche area untuk dilonjakkan kecemerlangannya.
Antara kriteria niche area yang dipilih ialah, bidang tersebut merupakan kekuatan utama yang sudah sedia terserlah, berupaya melibatkan penyertaan sebahagian besar pelajar dan berpotensi meraih kejayaan di peringkat antarabangsa. Semua pihak yang berkaitan dengan STAR terutamanya guru-guru, PIBG dan STAROBA boleh memberikan pandangan dan mengemukakan kertas cadangan untuk diteliti dan dipertimbangkan oleh pihak sekolah sebelum keputusan muktamad dibuat.

KELAS INTENSIF MASA CUTI (KITI)


Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, Jawatankuasa Program Kecemerlangan Akademik telah melaksanakan program Kelas Intensif Masa Cuti pada 29 Mei hingga 1 Jun yang lalu sempena cuti pertengahan tahun. Pada peringkat awal perancangan, program ini turut melibatkan pihak STAROBA yang dijangka mengisi program ini dengan ceramah motivasi dan pendedahan peluang kerjaya selepas SPM. Walau bagaimanapun pada saat akhir pihak berkenaan memberi laluan kepada pihak sekolah untuk menjalankan kelas intensif sebagai persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan PMR dan SPM.
Guru-guru telah memberikan komitmen yang baik dengan mengorbankan sebahagian masa cuti demi memastikan para pelajar mendapat manfaat daripada program ini. Malangnya sambutan daripada pelajar sendiri amat mendukacitakan. Sebahagian pelajar lebih mementingkan cuti daripada belajar. Akibatnya pada hari terakhir hanya tinggal 30 orang sahaja pelajar tingkatan 5 yang tinggal dan masih setia mengikuti program ini hingga akhir. Yang lain-lain telah balik lebih awal tanpa memaklumkan kepada guru. Nasib baik pelajar tingkatan 3 tidak turut serta mengikut tindakan negatif pelajar tingkatan 5. Sebahagian besar pelajar tingkatan 3 sanggup menunggu hingga ke slot terakhir.
Mungkin keadaan ini berlaku akibat tempias krisis antara pihak STAR dan STAROBA yang timbul beberapa hari sebelum itu terutamanya laporan dan kritikan negatif secara terbuka terhadap pihak pentadbiran dan guru-guru di internet hingga menyebabkan ketegangan dan kekecohan berlaku sedemikian rupa.
Diharap semua pihak segera insaf dan kembali bersatu menjernihkan suasana bagi mengelakkan anak bangsa kita daripada menjadi korban di tengah-tengah perbalahan pihak-pihak yang berkepentingan. Sepatutnya semua pihak berganding bahu menghulurkan bantuan dan menggembleng tenaga bagi mengangkat semula maruah STAR yang tercalar selepas pengumuman keputusan SPM tahun lalu.

BENGKEL PENGUKUHAN ASAS PMR & SPM


Bengkel Pengukuhan Asas PMR dan SPM telah diadakan pada 24 - 26 April 2009. Antara objektif bengkel kali ini ialah untuk mengukuhkan penguasaan asas teknik menjawab soalan peperiksaan supaya pelajar dapat menjawab soalan dengan lebih mantap dan berkesan. Di samping itu guru-guru juga membuat review jawapan pelajar dalam ujian dan latihan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan seterusnya dijalankan aktiviti pemulihan dan pengukuhan. Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelajar selepas seminar yang diadakan sebelum ini, usaha penambahbaikan dibuat kali ini dengan menyediakan satu slot kepada kaunselor untuk memberikan pendedahan tentang kemahiran belajar dan pada waktu rehat pelajar diberi makanan ringan berupa roti krim dan air milo panas.

Sabtu, 23 Mei 2009

ANUGERAH & PENGHARGAAN HARI GURU 2009

Cikgu Zabidi yang mewakili Pengetua menerima anugerah bagi pihak STAR

Plak dan Sijil Penghargaan yang diterima

Sempena Sambutan Perayaan Hari Guru peringkat Daerah Kinta Utara yang diadakan di Silveritage Medan Gopeng, Ipoh pada 22 Mei 2009 yang lalu, Sekolah Tuanku Abdul Rahman telah menerima dua anugerah. Pertama Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (PMR) dan kedua Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (SPM). Kedua-dua anugerah dalam bentuk plak dan Sijil Penghargaan itu disampaikan oleh Tn. Hj. Muhamat Roli Bin Hassan, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada guru-guru dan para pelajar STAR yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah kita. Semoga anugerah yang diterima ini meningkatkan lagi motivasi kita untuk terus berusaha keras mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

Isnin, 18 Mei 2009

KELAS INTENSIF MASA CUTI

Sempena cuti pertengahan tahun ini, pihak sekolah dengan kerjasama PIBG akan mangadakan program Kelas Intensif Masa Cuti untuk pelajar tingkatan 3 dan 5 pada 29 Mei hingga 1 Jun 2009. Pelajar hanya dibenarkan pulang bercuti pada hari Selasa, 2 Jun 2009 selepas selesai program berkenaan.
Antara tujuan diadakan program ini ialah untuk membolehkan guru mengajar secara intensif bagi memastikan sukatan pelajaran dapat dihabiskan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada 23 Julai.
Biasanya pada penggal pertama banyak kelas yang terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pelbagai aktiviti sekolah seperti sukan tahunan, hari anugerah cemerlang, cuti am, cuti perayaan dan sebagainya. Melalui program ini dapatlah guru mengajar topik-topik yang tidak sempat diselesaikan.
Bagi mata pelajaran yang sudah menghabiskan sukatan pelajaran mengikut jadual, program ini dapat dimanfaatkan dengan membuat latih tubi menjawab soalan peperiksaan.
Semoga program yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan jayanya sebagai suatu inisiatif untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan PMR dan SPM nanti.