Sabtu, 31 Julai 2010

STAR NAIB JOHAN BAHAS PIALA PERDANA MENTERI

Haji Abdul Hashim, Pengetua STAR menerima hadiah daripada Tan Sri Alimuddin, KPPM

STAR muncul Naib Johan Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Piala Perdana Menteri ke-37 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) pada 31 Julai 2010, kalah kepada Sekolah Sultan Alam Shah. Sebagai naib johan, STAR menerima hadiah RM2000.00 dan sijil penyertaan.

Dari kiri: Cikgu Helmi Fazlin, Aiman Sabeh, Azzam, Ashman, Thaqif, Haji Abdul Hashim dan Cikgu Zabidi

Di samping itu pembahas ketiga STAR, Muhammad Aiman Sabeh bin Mohd Shahib dinobatkan sebagai pembahas terbaik, menerima hadiah wang tunai RM1000.00.

Aiman Sabeh menerima hadiah Pembahas Terbaik

Pertandingan bahas antara Sekolah-sekolah Berasrama Penuh mula diperkenalkan pada tahun 1974. Kali terakhir STAR menjuarai pertandingan ini ialah pada tahun 1988 menewaskan Maktab Tentera Diraja. Pada tahun 2007 STAR masuk ke pertandingan akhir tetapi kalah kepada SM Sains Alam Shah.

Dari kiri: Ashman Ezani, Aiman Sabeh, Thaqif dan Azzam

Pembahas STAR terdiri daripada Muhammad Azzam bin Mohd Yani, Muhammad Thaqif bin Tamunif, Muhammad Aiman Sabeh bin Mohd Shahib dan Ashman Ezani bin Aminuddin. Mereka dibimbing oleh Cikgu Juliana, Cikgu Helmi Fazlin dan Cikgu Hafiza.

Dari kiri: Cikgu Ainun Maziah, Cikgu Mastura, En Hamdan, Cikgu Helmi Fazlin, Cikgu Juliana dan Cik Hafiza

Syabas dan tahniah kepada semua pembahas dan guru pembimbing kerana berjaya mengharumkan nama STAR di peringkat kebangsaan. Terima kasih dan penghargaan kepada semua guru, STAROBA, PIBG dan seluruh warga STAR kerana memberikan sumbangan dan sokongan untuk sama-sama mengembalikan kegemilangan sekolah kita yang berprestasi tinggi.

Encik Azlan (VP STAROBA) turut hadir

Antara aktivis STAROBA yang hadir memberi sokongan

Sokongan padu daripada pelajar STAR

Khamis, 29 Julai 2010

STAR JUARA RAGBI KEBANGSAAN

PENANTIAN 35 tahun Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh untuk menjulang gelaran ragbi peringkat kebangsaan terlerai setelah muncul juara Kejohanan Ragbi Sekolah-sekolah Premier Kebangsaan 2010 di Ipoh, semalam.

Pengetua dan Cikgu Naha bangkitkan semangat juang pemain

Pemain STAR tetap melawan walaupun fizikal pemain Sabah lebih besar

Walau diasak hebat, pemain STAR tetap tak berganjak

Pemain menerima ucapan tahniah daripada Pengetua dan jurulatih

STAR menundukkan juara 2005 dan finalis 2007, Maktab Sabah 19-12 dalam perlawanan final yang sengit di halaman sendiri.

Tahniah dan Syabas kepada semua pemain, jurulatih, STAROBA dan seluruh warga STAR!

Ibarat buku dengan ruas, STAR yang kali terakhir muncul juara kejohanan Piala Mori pada 1974 dan Piala Milo 10-sebelah pada 1981, mendapat sokongan padu pelajar, guru dan bekas murid (STAROBA) untuk mendahului 12-7 pada babak pertama. Maktab Sabah yang menduduki tempat ketiga pada 2006, bangkit untuk mengikat kedudukan dan tampak mampu memenangi perlawanan apabila mengasak hebat ke kawasan lawan tetapi nasib nyata menyebelahi tuan rumah apabila mendapat satu lagi try tiga minit sebelum siren penamat.

Rabu, 21 Julai 2010

STAR CALON SBT 2010

Pengetua menyampaikan dokumen sokongan kepada Ketua Jemaah Nazir

Tahun ini sekali lagi STAR dicalonkan untuk pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Peluang STAR tahun ini lebih cerah setelah mencatatkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM tahun 2009 serta meraih kejayaan cemerlang juga dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan.

Hari ini, 21 Julai 2010 seramai enam orang Jemaah Nazir Sekolah telah hadir ke sekolah untuk melakukan proses penilaian dan pemantauan bagi tujuan tersebut. Dalam pembentangannya, Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, Pengetua Cemerlang STAR yang baru berjaya meyakinkan pasukan penilai bahawa STAR sememangnya layak diiktiraf sebagai SBT berdasarkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Dalam aspek tertentu STAR setanding dengan sekolah SBT sedia ada malah ada juga pencapaian STAR yang lebih baik daripada pencapaian SBT tertentu dan jauh mengatasi calon-calon SBT yang lain.

Walau bagaimanapun masih ada ruang untuk penambahbaikan terutamanya dalam aspek kebersihan dan keceriaan sama ada di blok akademik mahupun di asrama. Insya Allah dengan kehadiran Pengetua baru ini segala kekurangan dan kelemahan tersebut dapat diatasi setelah melihat beberapa perubahan positif telah dilakukan dalam tempoh 10 hari beliau berada di STAR.

Pihak sekolah telah berusaha sebaik mungkin untuk mendapat pengiktirafan ini dengan kerjasama erat semua warga sekolah, STAROBA dan PIBG. Sama-samalah kita berdoa, mudah-mudahan hajat kita mendapat pengiktirafan sebagai SBT dimakbulkan.

Selasa, 20 Julai 2010

STAR Juara Ragbi Premier Zon Perak

Pasukan Ragbi STAR muncul sebagai Juara Kejohanan Ragbi Premier Bawah 19 tahun Zon Perak. Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di padang SMK Anderson, Ipoh hari ini, pasukan STAR telah menewaskan pasukan King Edward 19 - 8.
Dengan kemenangan ini pasukan STAR akan mewakili Negeri Perak ke Kejohanan Ragbi Premier peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 27 hingga 30 Julai 2010 bertempat di padang STAR.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pemain, Cikgu Khairol Azhar dan Cikgu Naharudeen selaku jurulatih serta penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan pelbagai sumbangan kepada pasukan kita. Diharap semua pihak terus berganding bahu dan terus menyumbang untuk merangkul kejuaraan di peringkat kebangsaan pula.