Sabtu, 19 Februari 2011

Warga STAR Rai Kejayaan Dapat SBT



Seluruh warga STAR yang terdiri daripada guru-guru, pelajar, PIBG dan STAROBA meraikan kejayaan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada 19 Februari 2011. Turut hadir ke majlis keraian ini ialah kumpulan pelajar first batch yang diketuai Ketua Umum pertama, Dato' Ratna Bijaya Aziz Badli bin Awang Chik.
Bagi mengembalikan nostalgia lama, 27 orang bekas pelajar first batch datang ke Ipoh dengan menaiki keretapi dengan disambut pelajar STAR bersama banner "Welcome Home Tigers of Tiger Lane" pada pukul 10.30 pagi.
Selepas minum pagi di Hotel Seri Malaysia, mereka bergerak ke STAR dengan menaiki bas sekolah. Kehadiran mereka disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar. Aturcara lain ialah sesi bergambar, taklimat perkembangan terkini STAR, jamuan makan tengahari, tahlil dan doa selamat, ucapan Ketua Umum pertama, ceramah kerjaya oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru, majlis menandatangani plaque ucapan tahniah oleh semua pelajar first batch yang hadir, majlis ramah mesra dan diakhiri dengan jamuan teh.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir, terutamanya bekas pelajar first batch, STAROBA, PIBG dan bekas guru STAR. Diharap pertemuan bersejarah ini akan disusuli dengan pelbagai program kerjasama untuk terus menaikkan nama STAR bagi memastikan status Sekolah Berprestasi Tinggi terus dipertahankan.

Khamis, 17 Februari 2011

STAR Diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas memenuhi kriteria yang diperlukan. Pengiktirafan ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di SK Ulu Lubai, Sarawak pada 17 Februari 2011.
"Semangat kerja sepasukan dan komitmen di kalangan guru, ibu bapa dan bekas pelajar bagi menaikkan nama sekolah menjadi resepi kejayaan ini", kata Dr Mior Hamdan bin Haji Ghazali, Penolong Kanan STAR.
Bagi kohort kedua sebanyak 23 sekolah diiktiraf sebagai SBT menjadikan jumlah keseluruhan 43 buah. Sekolah-sekolah SBT kohort kedua ini terdiri daripada Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor; Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan; Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak; Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Muar, Johor; Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak; SK Convent Muar, Johor; SK Seri Biram, Pahang; SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah; SK Setiawangsa, Kuala Lumpur; SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang; SK Sultan Ismail, Terengganu; SK Jalan Tiga, Selangor; SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang dan SJK(C) Lick Hung, Selangor.
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua warga STAR yang telah bekerja keras selama ini untuk memenuhi setiap kriteria yang diperlukan bagi melayakkan STAR diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Alhamdulillah, impian semua warga STAR selama ini telah menjadi kenyataan kini. Kita perlu terus bekerja keras bagi memastikan STAR sentiasa berada pada prestasi tinggi seperti motto Pengetua Cemerlang STAR, Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, "STAR Will Always Be Number One".