Jumaat, 5 Jun 2009

STAR DIIKTIRAF SEKOLAH KLUSTER



Sekolah Tuanku Abdul Rahman kini sudah sah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. Majlis Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 3 Tahun 2009 telah disempurnakan oleh Dato' Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada 3 Jun 2009 di Hotel Federal, Kuala Lumpur.
Sijil Pengiktirafan STAR sebagai Sekolah Kluster telah diterima oleh Cikgu Mohd Zabidi bin Nordin yang mewakili Pengetua dalam majlis tersebut. Diharap dengan pengiktirafan ini dan peruntukan kewangan yang bakal diterima dapat melonjakkan kecemerlangan STAR dalam bidang kebitaraan yang bakal dipilih.
Selepas ini pihak pentadbiran STAR dan guru-guru akan berbincang untuk menyediakan Pelan Strategik untuk melaksanakan program kecemerlangan. Kita diminta menetapkan satu bidang akademik dan satu bidang kokurikulum sebagai niche area untuk dilonjakkan kecemerlangannya.
Antara kriteria niche area yang dipilih ialah, bidang tersebut merupakan kekuatan utama yang sudah sedia terserlah, berupaya melibatkan penyertaan sebahagian besar pelajar dan berpotensi meraih kejayaan di peringkat antarabangsa. Semua pihak yang berkaitan dengan STAR terutamanya guru-guru, PIBG dan STAROBA boleh memberikan pandangan dan mengemukakan kertas cadangan untuk diteliti dan dipertimbangkan oleh pihak sekolah sebelum keputusan muktamad dibuat.

KELAS INTENSIF MASA CUTI (KITI)


Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, Jawatankuasa Program Kecemerlangan Akademik telah melaksanakan program Kelas Intensif Masa Cuti pada 29 Mei hingga 1 Jun yang lalu sempena cuti pertengahan tahun. Pada peringkat awal perancangan, program ini turut melibatkan pihak STAROBA yang dijangka mengisi program ini dengan ceramah motivasi dan pendedahan peluang kerjaya selepas SPM. Walau bagaimanapun pada saat akhir pihak berkenaan memberi laluan kepada pihak sekolah untuk menjalankan kelas intensif sebagai persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan PMR dan SPM.
Guru-guru telah memberikan komitmen yang baik dengan mengorbankan sebahagian masa cuti demi memastikan para pelajar mendapat manfaat daripada program ini. Malangnya sambutan daripada pelajar sendiri amat mendukacitakan. Sebahagian pelajar lebih mementingkan cuti daripada belajar. Akibatnya pada hari terakhir hanya tinggal 30 orang sahaja pelajar tingkatan 5 yang tinggal dan masih setia mengikuti program ini hingga akhir. Yang lain-lain telah balik lebih awal tanpa memaklumkan kepada guru. Nasib baik pelajar tingkatan 3 tidak turut serta mengikut tindakan negatif pelajar tingkatan 5. Sebahagian besar pelajar tingkatan 3 sanggup menunggu hingga ke slot terakhir.
Mungkin keadaan ini berlaku akibat tempias krisis antara pihak STAR dan STAROBA yang timbul beberapa hari sebelum itu terutamanya laporan dan kritikan negatif secara terbuka terhadap pihak pentadbiran dan guru-guru di internet hingga menyebabkan ketegangan dan kekecohan berlaku sedemikian rupa.
Diharap semua pihak segera insaf dan kembali bersatu menjernihkan suasana bagi mengelakkan anak bangsa kita daripada menjadi korban di tengah-tengah perbalahan pihak-pihak yang berkepentingan. Sepatutnya semua pihak berganding bahu menghulurkan bantuan dan menggembleng tenaga bagi mengangkat semula maruah STAR yang tercalar selepas pengumuman keputusan SPM tahun lalu.

BENGKEL PENGUKUHAN ASAS PMR & SPM


Bengkel Pengukuhan Asas PMR dan SPM telah diadakan pada 24 - 26 April 2009. Antara objektif bengkel kali ini ialah untuk mengukuhkan penguasaan asas teknik menjawab soalan peperiksaan supaya pelajar dapat menjawab soalan dengan lebih mantap dan berkesan. Di samping itu guru-guru juga membuat review jawapan pelajar dalam ujian dan latihan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan seterusnya dijalankan aktiviti pemulihan dan pengukuhan. Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelajar selepas seminar yang diadakan sebelum ini, usaha penambahbaikan dibuat kali ini dengan menyediakan satu slot kepada kaunselor untuk memberikan pendedahan tentang kemahiran belajar dan pada waktu rehat pelajar diberi makanan ringan berupa roti krim dan air milo panas.