Jumaat, 5 Jun 2009

KELAS INTENSIF MASA CUTI (KITI)


Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, Jawatankuasa Program Kecemerlangan Akademik telah melaksanakan program Kelas Intensif Masa Cuti pada 29 Mei hingga 1 Jun yang lalu sempena cuti pertengahan tahun. Pada peringkat awal perancangan, program ini turut melibatkan pihak STAROBA yang dijangka mengisi program ini dengan ceramah motivasi dan pendedahan peluang kerjaya selepas SPM. Walau bagaimanapun pada saat akhir pihak berkenaan memberi laluan kepada pihak sekolah untuk menjalankan kelas intensif sebagai persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan PMR dan SPM.
Guru-guru telah memberikan komitmen yang baik dengan mengorbankan sebahagian masa cuti demi memastikan para pelajar mendapat manfaat daripada program ini. Malangnya sambutan daripada pelajar sendiri amat mendukacitakan. Sebahagian pelajar lebih mementingkan cuti daripada belajar. Akibatnya pada hari terakhir hanya tinggal 30 orang sahaja pelajar tingkatan 5 yang tinggal dan masih setia mengikuti program ini hingga akhir. Yang lain-lain telah balik lebih awal tanpa memaklumkan kepada guru. Nasib baik pelajar tingkatan 3 tidak turut serta mengikut tindakan negatif pelajar tingkatan 5. Sebahagian besar pelajar tingkatan 3 sanggup menunggu hingga ke slot terakhir.
Mungkin keadaan ini berlaku akibat tempias krisis antara pihak STAR dan STAROBA yang timbul beberapa hari sebelum itu terutamanya laporan dan kritikan negatif secara terbuka terhadap pihak pentadbiran dan guru-guru di internet hingga menyebabkan ketegangan dan kekecohan berlaku sedemikian rupa.
Diharap semua pihak segera insaf dan kembali bersatu menjernihkan suasana bagi mengelakkan anak bangsa kita daripada menjadi korban di tengah-tengah perbalahan pihak-pihak yang berkepentingan. Sepatutnya semua pihak berganding bahu menghulurkan bantuan dan menggembleng tenaga bagi mengangkat semula maruah STAR yang tercalar selepas pengumuman keputusan SPM tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan