Jumaat, 5 Ogos 2011

Lawatan Pengarah BPSBPSK ke STAR



Haji Rosland bin Hussein, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan telah mengadakan lawatan rasmi ke STAR pada 20 Jun 2011. Sempena lawatan tersebut, beliau diberi penghormatan untuk merasmikan English Language Resource Centre yang dinaik taraf dengan peruntukan khas sekolah kluster bagi kebitaraan Bahasa Inggeris.

Sabtu, 4 Jun 2011

Contoh Kerja Kursus Geografi

Pelajar saya di STAR dah boleh download contoh kerja kursus Geografi sekarang. Klik pada link yang disertakan di sini. Insya Allah contoh kedua akan saya upload esok. Harap dapat siapkan kerja kursus dalam masa cuti ni.
Contoh Kerja Kursus Geografi
Pelajar tingkatan 1 boleh rujuk contoh berikut untuk tajuk Amalan Kitar Semula.
Contoh Kerja Kursus Tingkatan 1: Amalan Kitar Semula

Sabtu, 21 Mei 2011

Program Jaya Waris



Dua puluh calon PMR dan SPM telah berikrar di hadapan Pengetua, guru-guru dan ibu bapa masing-masing untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan pada Program Jaya Waris yang diadakan pada 20 Mei 2011. Mereka terdiri daripada pelajar yang menduduki ranking 20 terbawah berdasarkan Ujian Selaras 1. Program ini diadakan sebagai inisiatif awal untuk meningkatkan prestasi cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut, selaras dengan status STAR sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

Program dimulakan dengan perjumpaan pelajar dan ibu bapa dengan guru kelas dan guru mata pelajaran untuk membincangkan prestasi pelajar berkenaan. Selepas itu Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, Pengetua Cemerlang STAR menyampaikan ucapan dan nasihat kepada pelajar dan ibu bapa. Seterusnya wakil ibu bapa diberi peluang menyampaikan ucapan dan nasihat kepada anak-anak mereka. Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar oleh pelajar berkenaan.

Kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar seperti ini amat penting dan sangat dialu-alukan. Semoga program ini diberkati Allah dan membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Ahad, 27 Mac 2011

STAR RAIH 14 PINGAT EMAS

Atlet STAR beraksi cemerlang di Kejohanan Trek dan Padang MSSD Kinta Utara dengan meraih 14 emas, 10 perak dan 8 gangsa. Prestasi atlet STAR yang beraksi di Stadium Perak, Ipoh pada 22 hingga 25 Mac 2011 meningkat berbanding 9 pingat emas diraih pada tahun 2010.
STAR muncul Johan bagi kategori lelaki dan Naib Johan bagi keseluruhan acara yang dipertandingkan. Johan keseluruhan disandang oleh SMK Gunung Rapat yang bertanding dalam kategori lelaki dan perempuan berbanding STAR yang bertanding dalam kategori lelaki sahaja.
Atlet STAR mencatat rekod baru kejohanan dalam dua acara, iaitu Syakir Zufairy dalam acara 400 meter Lelaki bawah 15 tahun dengan masa 52.4 saat dan acara 4 x 400 meter lelaki bawah 15 tahun dengan masa 3:56.1 saat.
Berikut adalah senarai atlet STAR yang berjaya meraih pingat emas di kejohanan tersebut;
1. Nor Fitri Mohd Zam - 100m L18 - 11.2s
2. Azim Zainurin - 100m L14 - 12.2s
3. Azim Zainurin - 200m L14 -25.2s
4. Syakir Zufayri - 400m L15 - 52.4s (rekod)
5. Iqbal Zubir - 110m berpagar L18 - 16.6s
6. Amirul Ashraf - 110m berpagar L15
7. Ahmad Nabil - lempar cakera L14 - 27.61m
8. Shahrul Izni - - lembing L14 - 28.0m
9. Iqbal Zubir - lompat kijang L18 - 12.81m
10. Edin Hisham - lompat kijang L14 - 11.87m
11. Mohd Ramadan - heptathlon L18 - 3042mata
12. 4x100m L15 - 47.5s
13. 4x100m L18 - 45.3s
14. 4x400m L15 - 3:56.1s (rekod)
Seramai 17 atlet STAR layak mewakili Daerah Kinta Utara ke Kejohanan Trek dan Padang peringkat Negeri Perak yang dijadualkan pada 8 April di Proton City, Tanjung Malim. Diharap mereka berjaya mengharumkan nama STAR sekali lagi di kejohanan itu nanti.
Seluruh warga STAR mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang berjaya dan terima kasih kepada guru-guru yang membimbing mereka. Pihak sekolah juga amat menghargai sumbangan ikhlas dan khidmat bakti Encik Yahaya Daud (Tok Ya) yang banyak menyumbangkan tenaga, wang, masa dan kepakaran dalam usaha menjulang semula kejuaraan STAR dalam olahraga. Tidak lupa juga terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dan sumbangan dalam pelbagai bentuk terutamanya PIBG, STAROBA dan orang perseorangan. Semoga STAR terus cemerlang pada masa akan datang.

Selasa, 22 Mac 2011

SPM 2010: MUHAMMAD AZZAM PELAJAR TERBAIK

Muhammad Azzam bin Mohd Yani muncul pelajar terbaik STAR apabila memperoleh 9A+ dalam peperiksaan SPM 2010 yang diumumkan hari ini. Daripada 135 calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun lalu, 31 orang memperoleh gred A bagi semua subjek yang diambil dan hanya Azzam seorang yang memperoleh semua A+.

Dua subjek menunjukkan peningkatan gred purata iaitu Sejarah 0.55 berbanding 0.92 tahun 2009 dan Matematik 0.50 berbanding 0.52 tahun 2009. Gred purata keseluruhan ialah 2.01 berbanding 1.71 yang diperoleh pada tahun 2009.

Harapan seluruh warga STAR untuk meraikan kejayaan berganda seperti tahun lalu tidak kesampaian apabila gagal mempertahankan kedudukan nombor 1 di Perak. Diharap program kecemerlangan tahun ini dapat dimantapkan lagi bagi memastikan calon SPM 2011 melonjak semula di tempat teratas.

Sabtu, 19 Mac 2011

Program Pementoran Black House Kali Pertama 2011



Program Pementoran Black House kali pertama tahun ini telah diadakan pada 19 Februari 2011, jam 5.15 hingga 6.45 petang. Mentor yang hadir pada perjumpaan kali ini ialah Encik Yahaya Daud dan Tuan Haji Mohd Fathil bin Shariff.
Majlis dimulakan dengan taklimat oleh Cikgu Mohd Zabidi selaku Ketua Guru Rumah yang membentangkan analisis markah sistem rumah dan aktiviti yang dirancang untuk tahun 2011. Selepas itu Tuan Haji Mohd Fathil menyampaikan ceramah motivasi, amanat dan nasihat kepada para pelajar. Encik Yahaya Daud turut memberikan tazkirah berkaitan pembinaan sahsiah pelajar dan juga program kecemerlangan olahraga.
Perjumpaan ringkas petang itu diakhiri dengan bersalam-salaman dan jamuan ringan minum petang yang disumbangkan oleh Tuan Haji Mohd Fathil. Diharap perjumpaan berikutnya lebih meriah lagi.

Jumaat, 4 Mac 2011

Rumah Hijau Juara STAR Gold Rush Athletic Circuit Edisi Pertama

Rumah Hijau muncul juara STAR Gold Rush Athletic Circuit edisi pertama setelah mengumpul 508 mata keseluruhan. Kejohanan olahraga antara rumah ini berlangsung di padang Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh pada hari Sabtu, 5 Mac 2011 dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Rumah Hitam yang menduduki tempat kedua mengumpul 403 mata tetapi menduduki tempat pertama dari segi pungutan pingat dengan 13 emas, 10 perak dan 6 gangsa.
Olahragawan STAR 2011 disandang oleh Nor Fitri Mohd Zam dari Rumah Hijau. Beliau muncul johan individu kelas A dan berjaya mencipta rekod baru acara 100 meter.
Bagi acara tarik tali, Rumah Hitam berjaya mengekalkan kejuaraan selama dua tahun berturut-turut, menewaskan Rumah Kuning. Johan bagi pertandingan lain adalah seperti berikut;
Perbarisan: Rumah Kuning
Hiasan Rumah: Rumah Biru
Sukantara: Rumah Hitam
Majlis perasmian pembukaan disempurnakan oleh Presiden STAROBA, Dato' Mohd Nasir bin Ahmad dan majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Dato' Seri Dr. Isahak bin Yeop Mohd Shar, CEO KYM Holdings Bhd, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Tahniah kepada semua atlet yang berjaya dan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru, PIBG dan STAROBA yang berganding bahu menjayakan kejohanan olahraga kali ini.