Jumaat, 16 Januari 2009
SINOPSIS PROGRAM AD HOC
Dari semasa ke semasa pegawai-pegawai dari kementerian, khususnya dari Unit SBP membuat lawatan ke sekolah. Oleh itu dicadangkan supaya diadakan perjumpaan khas calon-calon PMR dan SPM dengan pegawai berkenaan supaya matlamat dan hasrat murni kerajaan serta harapan masyarakat terhadap para pelajar SBP dapat disampaikan kepada pelajar. Antara tujuannya ialah untuk menyedarkan mereka tentang peranan dan tanggungjawab sebagai pelajar cemerlang yang terpilih ke SBP bagi memastikan mereka berupaya memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada Negara setelah mencapai kecemerlangan.
Program khas anjuran PIBG
Setiap tahun pihak PIBG merancang program tertentu untuk meningkatkan prestasi pelajar terutamanya dalam peperiksaan PMR dan SPM. Antaranya ialah sesi dialog PIBG dengan guru-guru dan pelajar-pelajar, ceramah motivasi dan lain-lain lagi. Penglibatan aktif PIBG dalam menganjurkan program seperti ini turut membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar.
Program khas bersama STAROBA
Pihak STAROBA juga turut memberikan sumbangan yang besar dalam membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar STAR setiap tahun dengan pelbagai program tersendiri. Sebagaimana yang diketahui umum, di kalangan ahli-ahli STAROBA sudah ramai yang berjaya menjawat jawatan tinggi dalam pelbagai agensi sama ada sektor awam, swasta ataupun menjadi tokoh korporat yang mempunyai empayar perniagaan sendiri. Mereka sering dijemput untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan pelajar supaya boleh merangsang perasaan dan fikiran mereka untuk mengikut jejak tokoh-tokoh berkenaan. Kehadiran tokoh-tokoh besar tersebut sekurang-kurangnya boleh menjadi sumber inspirasi kepada pelajar untuk diteladani dan menjadi contoh ikutan pelajar hari ini dalam merencanakan kejayaan pada masa hadapan.
SINOPSIS PROGRAM TAHUNAN
Pihak sekolah telah menetapkan tarikh akhir menghabiskan sukatan pelajaran bagi tingkatan 3 dan 5 pada 23 Julai. Walau bagaimanapun biasanya pada penggal pertama banyak kelas yang terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pelbagai aktiviti sekolah seperti sukan tahunan, hari anugerah cemerlang, cuti am, cuti perayaan dan sebagainya. Oleh sebab itu program ini yang akan diadakan pada awal cuti pertengahan tahun dirancang untuk membolehkan guru mengajar secara intensif bagi membolehkan sukatan pelajaran dihabiskan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Perkampungan Ilmu
Calon-calon SPM akan dibawa berkampung di suatu tempat tertentu seperti kem motivasi untuk mengikuti bengkel teknik menjawab soalan dan ceramah motivasi yang akan disampaikan oleh pakar-pakar dalam mata pelajaran berkenaan dan pakar-pakar motivasi. Pada tahun-tahun yang lepas program ini dijalankan dengan kerjasama STAROBA Zon Utara. Bekas-bekas pelajar STAR yang berjaya dalam kerjaya masing-masing dijemput untuk berkongsi pengalaman dan mendedahkan laluan untuk menceburi bidang kerjaya tertentu.
Program Bersama Waris
Ibu bapa dijemput ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan dan diberi peluang untuk berinteraksi dengan guru untuk mendapatkan penjelasan, berbincang dan mencari jalan untuk meningkatkan pencapaian anak-anak mereka.
SINOPSIS PROGRAM BULANAN
Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memantapkan kemahiran belajar seperti teknik mendengar, teknik membaca, teknik menulis nota, teknik mengingat, teknik mengulang kaji dan sebagainya. Perlu disampaikan oleh pakar dalam bidang berkaitan.
Program motivasi
Pihak sekolah akan menjemput pakar motivasi profesional untuk mengendalikan program motivasi, supaya semua pelajar mempunyai semangat belajar yang tinggi, berkeinginan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dan mempunyai daya tahan untuk menghadapi segala rintangan yang boleh menghalang kejayaan.
Ceramah dan Bengkel Teknik Menjawab Soalan
Para pelajar akan didedahkan dan dibimbing untuk menjawab soalan peperiksaan dengan teknik yang betul, tepat dan berkesan. Guru pakar dari dalam dan luar sekolah bagi setiap mata pelajaran akan dijemput untuk menyampaikan ceramah dan mengendalikan bengkel berkenaan.
Bengkel Pengukuhan
Objektif program ini ialah untuk memberi pengukuhan tentang teknik menjawab soalan kepada para pelajar PMR dan SPM supaya mereka dapat menguasai teknik yang mantap agar mereka dapat menjawab soalan dengan lebih berkesan sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan kecemerlangan akademik. Setiap panitia membuat review jawapan pelajar dalam ujian dan latihan untuk mengenal pasti kemahiran atau topik yang belum dikuasai oleh pelajar. Dalam program ini guru memberi tumpuan untuk mengukuhkan penguasaan teknik dan persembahan jawapan supaya lebih sempurna mengikut kehendak pemeriksa.
SINOPSIS PROGRAM MINGGUAN
Kumpulan pelajar yang dikenal pasti belum cemerlang dan berprestasi rendah dalam mata pelajaran tertentu diberikan kelas tambahan pada waktu malam atau hujung minggu. Kelas tuisyen juga boleh digunakan oleh guru untuk tujuan menghabiskan sukatan pelajaran. Bilangan pelajar dalam kelas tuisyen ini tidak melebihi 15 orang supaya guru boleh memberikan bimbingan secara individu dan memastikan keberkesanannya. Setiap guru yang mengadakan kelas tuisyen akan dibayar sagu hati sebanyak RM25.00 sejam daripada tabung Program Kecemerlangan Akademik.
Kelas Bimbingan Rakan Sebaya
Kumpulan pelajar yang dikenal pasti berprestasi cemerlang membimbing rakan mereka yang berprestasi sederhana dalam kumpulan kecil (study group). Program ini dijalankan pada waktu prep malam dan hujung minggu.
Kelas Bimbingan Bahasa Inggeris PPSMI
Program ini dirancang sebagai satu inisiatif untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar agar mereka dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Program ini akan dijalankan oleh guru-guru Bahasa Inggeris dan pesertanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang dikenal pasti masih lemah penguasaan Bahasa Inggeris.
SINOPSIS PROGRAM HARIAN
Ada banyak petua, panduan atau tips tertentu untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Sebagai suatu usaha untuk menjadikan pelajar STAR pelajar yang cemerlang, tips-tips ini perlu didedahkan kepada mereka untuk dihayati dan diamalkan. Sehubungan itu dicadangkan supaya Pengetua, Penolong Kanan, Guru Kanan dan Guru-guru dapat menyampaikan sekurang-kurangnya satu tips untuk menjadi pelajar cemerlang dalam ucapan masing-masing pada setiap kali perhimpunan harian dan mingguan. Pelajar diminta untuk mencatat tips yang disampaikan itu dalam buku nota poket masing-masing untuk rujukan. Tips cemerlang yang disampaikan itu adalah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan guru sendiri ataupun dipetik daripada buku rujukan tertentu.
STRATEGI
Matlamat dan objektif PKA yang dirancang ini tidak mustahil dapat direalisasikan walaupun agak sukar dicapai kerana banyak faktor yang yang boleh mempengaruhi keputusan akhir. Apa yang boleh dibuat ialah memastikan strategi yang diatur dapat merangsang pelaksanaan yang berkesan. Ada dua unsur utama dalam mengatur strategi program ini, iaitu pertama pihak yang terlibat dan kedua mode program.
- Pihak yang terlibat
- Pelajar – kumpulan sasaran
- Guru – kumpulan pelaksana
- Pentadbir – kumpulan perancang dan kawal selia
- PIBG - Kumpulan sokongan (kepakaran dan kewangan)
- STAROBA – kumpulan sokongan (kepakaran dan kewangan)
- Mode program
- Program harian
- Program mingguan
- Program bulanan
- Program tahunan
- Program ad hoc
OBJEKTIF
- Melengkapkan diri pelajar dengan pelbagai teknik dan kemahiran belajar yang berkesan agar dapat menguasai sepenuhnya setiap topik dalam semua mata pelajaran yang diajar.
- Meningkatkan dan mengekalkan motivasi diri pelajar agar sentiasa berada dalam landasan yang betul terutamanya memfokuskan tumpuan mereka terhadap usaha mencapai kecemerlangan adakemik.
- Memastikan pelajar menguasai sepenuhnya teknik menjawab soalan peperiksaan agar mereka dapat menjawab semua soalan dengan sempurna dan penuh yakin.
Jumaat, 9 Januari 2009
JAWATANKUASA PROGRAM KECEMERLANGAN
Pengerusi:
Encik Mohmad Guffri bin Alpiah, AMP., PPT.
Timbalan Pengerusi:
Encik Zulkarnain b. Zainal Abidin, PPT
Naib Pengerusi I:
Encik Azmi bin Mat Saat
Naib Pengerusi II:
Encik Mohd Zaidi bin Basir, PPT.
Penyelaras:
Encik Mohd Zabidi b. Nordin
Setiausaha:
Puan Hajah Asiah binti Abdul Hamid
Ahli-Ahli:
Guru Kanan Mata Pelajaran
Ketua Panitia
Guru Mata Pelajaran
Guru Analisis Peperiksaan