Selasa, 22 Mac 2011

SPM 2010: MUHAMMAD AZZAM PELAJAR TERBAIK

Muhammad Azzam bin Mohd Yani muncul pelajar terbaik STAR apabila memperoleh 9A+ dalam peperiksaan SPM 2010 yang diumumkan hari ini. Daripada 135 calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun lalu, 31 orang memperoleh gred A bagi semua subjek yang diambil dan hanya Azzam seorang yang memperoleh semua A+.

Dua subjek menunjukkan peningkatan gred purata iaitu Sejarah 0.55 berbanding 0.92 tahun 2009 dan Matematik 0.50 berbanding 0.52 tahun 2009. Gred purata keseluruhan ialah 2.01 berbanding 1.71 yang diperoleh pada tahun 2009.

Harapan seluruh warga STAR untuk meraikan kejayaan berganda seperti tahun lalu tidak kesampaian apabila gagal mempertahankan kedudukan nombor 1 di Perak. Diharap program kecemerlangan tahun ini dapat dimantapkan lagi bagi memastikan calon SPM 2011 melonjak semula di tempat teratas.

Sabtu, 19 Mac 2011

Program Pementoran Black House Kali Pertama 2011



Program Pementoran Black House kali pertama tahun ini telah diadakan pada 19 Februari 2011, jam 5.15 hingga 6.45 petang. Mentor yang hadir pada perjumpaan kali ini ialah Encik Yahaya Daud dan Tuan Haji Mohd Fathil bin Shariff.
Majlis dimulakan dengan taklimat oleh Cikgu Mohd Zabidi selaku Ketua Guru Rumah yang membentangkan analisis markah sistem rumah dan aktiviti yang dirancang untuk tahun 2011. Selepas itu Tuan Haji Mohd Fathil menyampaikan ceramah motivasi, amanat dan nasihat kepada para pelajar. Encik Yahaya Daud turut memberikan tazkirah berkaitan pembinaan sahsiah pelajar dan juga program kecemerlangan olahraga.
Perjumpaan ringkas petang itu diakhiri dengan bersalam-salaman dan jamuan ringan minum petang yang disumbangkan oleh Tuan Haji Mohd Fathil. Diharap perjumpaan berikutnya lebih meriah lagi.

Jumaat, 4 Mac 2011

Rumah Hijau Juara STAR Gold Rush Athletic Circuit Edisi Pertama

Rumah Hijau muncul juara STAR Gold Rush Athletic Circuit edisi pertama setelah mengumpul 508 mata keseluruhan. Kejohanan olahraga antara rumah ini berlangsung di padang Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh pada hari Sabtu, 5 Mac 2011 dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Rumah Hitam yang menduduki tempat kedua mengumpul 403 mata tetapi menduduki tempat pertama dari segi pungutan pingat dengan 13 emas, 10 perak dan 6 gangsa.
Olahragawan STAR 2011 disandang oleh Nor Fitri Mohd Zam dari Rumah Hijau. Beliau muncul johan individu kelas A dan berjaya mencipta rekod baru acara 100 meter.
Bagi acara tarik tali, Rumah Hitam berjaya mengekalkan kejuaraan selama dua tahun berturut-turut, menewaskan Rumah Kuning. Johan bagi pertandingan lain adalah seperti berikut;
Perbarisan: Rumah Kuning
Hiasan Rumah: Rumah Biru
Sukantara: Rumah Hitam
Majlis perasmian pembukaan disempurnakan oleh Presiden STAROBA, Dato' Mohd Nasir bin Ahmad dan majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Dato' Seri Dr. Isahak bin Yeop Mohd Shar, CEO KYM Holdings Bhd, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Tahniah kepada semua atlet yang berjaya dan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru, PIBG dan STAROBA yang berganding bahu menjayakan kejohanan olahraga kali ini.

Sabtu, 19 Februari 2011

Warga STAR Rai Kejayaan Dapat SBT



Seluruh warga STAR yang terdiri daripada guru-guru, pelajar, PIBG dan STAROBA meraikan kejayaan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada 19 Februari 2011. Turut hadir ke majlis keraian ini ialah kumpulan pelajar first batch yang diketuai Ketua Umum pertama, Dato' Ratna Bijaya Aziz Badli bin Awang Chik.
Bagi mengembalikan nostalgia lama, 27 orang bekas pelajar first batch datang ke Ipoh dengan menaiki keretapi dengan disambut pelajar STAR bersama banner "Welcome Home Tigers of Tiger Lane" pada pukul 10.30 pagi.
Selepas minum pagi di Hotel Seri Malaysia, mereka bergerak ke STAR dengan menaiki bas sekolah. Kehadiran mereka disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar. Aturcara lain ialah sesi bergambar, taklimat perkembangan terkini STAR, jamuan makan tengahari, tahlil dan doa selamat, ucapan Ketua Umum pertama, ceramah kerjaya oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru, majlis menandatangani plaque ucapan tahniah oleh semua pelajar first batch yang hadir, majlis ramah mesra dan diakhiri dengan jamuan teh.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir, terutamanya bekas pelajar first batch, STAROBA, PIBG dan bekas guru STAR. Diharap pertemuan bersejarah ini akan disusuli dengan pelbagai program kerjasama untuk terus menaikkan nama STAR bagi memastikan status Sekolah Berprestasi Tinggi terus dipertahankan.

Khamis, 17 Februari 2011

STAR Diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi

Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas memenuhi kriteria yang diperlukan. Pengiktirafan ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di SK Ulu Lubai, Sarawak pada 17 Februari 2011.
"Semangat kerja sepasukan dan komitmen di kalangan guru, ibu bapa dan bekas pelajar bagi menaikkan nama sekolah menjadi resepi kejayaan ini", kata Dr Mior Hamdan bin Haji Ghazali, Penolong Kanan STAR.
Bagi kohort kedua sebanyak 23 sekolah diiktiraf sebagai SBT menjadikan jumlah keseluruhan 43 buah. Sekolah-sekolah SBT kohort kedua ini terdiri daripada Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor; Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan; Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak; Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Muar, Johor; Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak; SK Convent Muar, Johor; SK Seri Biram, Pahang; SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah; SK Setiawangsa, Kuala Lumpur; SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang; SK Sultan Ismail, Terengganu; SK Jalan Tiga, Selangor; SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang dan SJK(C) Lick Hung, Selangor.
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua warga STAR yang telah bekerja keras selama ini untuk memenuhi setiap kriteria yang diperlukan bagi melayakkan STAR diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Alhamdulillah, impian semua warga STAR selama ini telah menjadi kenyataan kini. Kita perlu terus bekerja keras bagi memastikan STAR sentiasa berada pada prestasi tinggi seperti motto Pengetua Cemerlang STAR, Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, "STAR Will Always Be Number One".

Isnin, 31 Januari 2011

TUGASAN KERJA KURSUS GEOGRAFI

Pelajar-pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 STAR boleh download soalan tugasan dan panduan kerja kursus Geografi di pautan ini. Tolong sampaikan kepada kawan-kawan lain.
1. Soalan Kerja Kursus PMR 2011 atau klik di sini
2. Tugasan dan panduan
3. Contoh huraian kawasan kajian dan peta
4. Rujukan
5. Draf huraian dapatan kajian




Rabu, 5 Januari 2011

89 Pelajar Baru Tingkatan 1 Daftar di STAR



Seramai 89 pelajar tingkatan 1 daripada 120 orang yang ditawarkan tempat di STAR telah mendaftar pada hari Rabu, 5 Januari 2011. Mereka terdiri daripada pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR dari seluruh negara.
Jumlah pelajar projek khas yang ditawarkan tempat di STAR seramai 31 orang. Walau bagaimanapun 14 orang lagi belum daftar, dipercayai kerana menghadapi masalah kewangan. Antaranya termasuklah pelajar dari Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan lain-lain lagi.
Pelajar projek khas ini terdiri daripada pelajar cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah. Mereka akan diberi bantuan kewangan dan biasiswa untuk membiayai perbelanjaan persekolahan. Melalui pendidikan yang berkualiti di sekolah cemerlang ini diharap mereka dapat membantu meningkatkan taraf hidup keluarga selepas menamatkan pengajian nanti.
Oleh itu diharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk membawa pelajar-pelajar berkenaan ke STAR. Guru kaunseling sudah menghubungi ibu bapa pelajar berkenaan dan dikenal pasti masalah kewangan menjadi punca mereka tidak hantar anak ke STAR. Sesiapa yang ingin membantu boleh hubungi Pengetua atau Cikgu Nor Hasliza.
Turut hadir dalam majlis taklimat kepada ibu bapa ialah YBhg Datuk Mohd Nasir bin Ahmad, Presiden STAROBA dan Encik Ahmad Hamdan bin Abdul Hamid, YDP PIBG.