Pengetuanya, Abdul Hashim Abdul Karim, berkata seramai 105 calon menduduki peperiksaan itu dan keputusan tahun ini menunjukkan peningkatan 4.73 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Anak tunggal pasangan Arfah Saidi dan Mohamad Abas Omar, iaitu Muhammad Badrul Hisyam, 15, adalah antara 88 pelajar STAR yang meraih 8A dalam PMR 2010.
Katanya, belajar secara berkumpulan adalah resepi kejayaannya dan selain sokongan daripada pendidik dan ibu bapa yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu.
“Saya dan rakan lain belajar secara berkumpulan dan memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam untuk mengulangkaji pelajaran.
“Selain itu, sokongan guru dan ibu bapa juga menaikkan semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya yang hanya memperoleh 4A dalam peperiksaan percubaan.
Sementara itu, bapanya, Mohamad Abas, berkata anak lelakinya itu bercita-cita menjadi seorang ahli kaji bumi dan aktif dalam aktiviti ko-kurikulum termasuk mewakili sekolah dalam sukan ragbi.
“Saya dan isteri berbangga dengan pencapaian cemerlang Badrul Hisyam dan berharap dia dapat mencatat kejayaan sama dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula,” katanya yang datang dari Alor Star pagi ini untuk sama-sama meraikan saat gembira itu.
Sementara itu, tiga rakan karib, Amir Imran Amiruddin, Muhammad Faris Mat Habeha, dan Muhammad Amir Safwan Mohamed Shafie juga tidak menyangka akan meraih keputusan 7A dalam PMR kerana pada peringkat percubaan mereka hanya mencatat 6A.
Amir Imran berkata, belajar secara berkumpulan lebih praktikal kerana mereka bertiga dapat membincangkan sesuatu topik yang tidak difahami dengan bertukar pendapat dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.
“Kejayaan kami ini juga hasil komitmen jitu pihak sekolah dan guru hingga STAR berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai sekolah terbaik di Perak dalam peperiksaan PMR untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri.
~ Sumber: PerakNews.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan