Sabtu, 23 Mei 2009

ANUGERAH & PENGHARGAAN HARI GURU 2009

Cikgu Zabidi yang mewakili Pengetua menerima anugerah bagi pihak STAR

Plak dan Sijil Penghargaan yang diterima

Sempena Sambutan Perayaan Hari Guru peringkat Daerah Kinta Utara yang diadakan di Silveritage Medan Gopeng, Ipoh pada 22 Mei 2009 yang lalu, Sekolah Tuanku Abdul Rahman telah menerima dua anugerah. Pertama Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (PMR) dan kedua Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (SPM). Kedua-dua anugerah dalam bentuk plak dan Sijil Penghargaan itu disampaikan oleh Tn. Hj. Muhamat Roli Bin Hassan, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada guru-guru dan para pelajar STAR yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah kita. Semoga anugerah yang diterima ini meningkatkan lagi motivasi kita untuk terus berusaha keras mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

Isnin, 18 Mei 2009

KELAS INTENSIF MASA CUTI

Sempena cuti pertengahan tahun ini, pihak sekolah dengan kerjasama PIBG akan mangadakan program Kelas Intensif Masa Cuti untuk pelajar tingkatan 3 dan 5 pada 29 Mei hingga 1 Jun 2009. Pelajar hanya dibenarkan pulang bercuti pada hari Selasa, 2 Jun 2009 selepas selesai program berkenaan.
Antara tujuan diadakan program ini ialah untuk membolehkan guru mengajar secara intensif bagi memastikan sukatan pelajaran dapat dihabiskan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada 23 Julai.
Biasanya pada penggal pertama banyak kelas yang terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pelbagai aktiviti sekolah seperti sukan tahunan, hari anugerah cemerlang, cuti am, cuti perayaan dan sebagainya. Melalui program ini dapatlah guru mengajar topik-topik yang tidak sempat diselesaikan.
Bagi mata pelajaran yang sudah menghabiskan sukatan pelajaran mengikut jadual, program ini dapat dimanfaatkan dengan membuat latih tubi menjawab soalan peperiksaan.
Semoga program yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan jayanya sebagai suatu inisiatif untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan PMR dan SPM nanti.