Ahad, 28 November 2010

STAR Korban 4 Ekor Lembu



Sambutan Hari Raya Aidil Adha di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) tahun ini meriah dengan melaksanakan ibadah korban sebanyak empat ekor lembu. Peserta ibadah korban ini terdiri daripada ibu bapa, guru dan ahli STAROBA dengan kerjasama erat masyarakat tempatan.
Walau bagaimanapun kemeriahan ini tidak dapat dirasai oleh semua warga STAR kerana hanya pelajar tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM sahaja yang tinggal, manakala pelajar tingkatan 1 hingga 4 sudah pulang bercuti lebih awal.

Selasa, 23 November 2010

Jamuan Tahunan Black House



Black House, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh telah mengadakan majlis Jamuan Tahunan Tautan Kasih pada 30 Oktober 2010 di Dewan STAR.
Majlis yang bertema 'Ke Arah 2011 Yang Gemilang: Black Mengorak Langkah' diadakan dalam dua sesi. Sebelah petang diadakan sesi ramah mesra ahli-ahli Black House dengan team mentor Bro Tuan Haji Mohd Fathil dan Bro Yahaya Daud sambil menikmati laksa yang disediakan oleh Bro Yahaya Daud.
Sebelah malam pula diadakan jamuan makan malam dengan hidangan istimewa nasi beriani Haji Bakri dan satey. Majlis dimulakan dengan ucapan Khairuddin (House Captain) dikuti ucapan Cikgu Zabidi (Ketua Guru Rumah), Ucapan Bro Yahaya Daud (Mentor Black House) dan Ucapan Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, Pengetua Cemerlang STAR. Selepas itu diikuti dengan persembahan multimedia aktiviti dan kejayaan Black House sepanjang tahun 2010. Akhir sekali menikmati hidangan yang disediakan sambil menonton siaran langsung pertandingan akhir bolasepak Piala Malaysia atas permintaan peminat Kelantan dan Negeri Sembilan.
Turut hadir sama pada malam itu ialah Tuan Haji Badri (PK Kokurikulum) dan Cikgu Zakaria (PK HEM).

Isnin, 15 November 2010

STAR Perintis Projek Dusun Di Sekolah

Petikan akhbar Kosmo, 30 Oktober 2010

STAR melakar sejarah tersendiri apabila menjadi SBP pertama di negara ini yang mengusahakan projek dusun buah-buahan tempatan di kawasan sekolah.
Sebanyak 126 pokok pokok buah-buahan pelbagai jenis telah ditanam oleh guru, pelajar dan kakitangan sokongan sekolah yang diusahakan di atas tanah seluas 1.6 hektar itu.
Pengetua Cemerlang STAR, Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim berkata antara pokok buah-buahan yang ditanam ialah cempedak, nangka madu, manggis, mempelam, rambutan dan ciku.
Projek STAR Fruit Valley ini diusahakan bersama pelajar-pelajar tingkatan tiga yang menamatkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah baru-baru ini.
"Projek dusun buah-buahan ini akan menjadi kebanggaan warga sekolah ini," katanya pada majlis pelancaran projek berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Encik Sulaiman Hashim.

Ahad, 17 Oktober 2010

PROGRAM PERFECT SCORE



Seramai 12 orang pelajar STAR bersama Cikgu King dan Cikgu Jamilullil telah mengikuti program Perfect Score Zon Utara di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping pada 15-17 Oktober 2010. Program ini dirancang dan dijalankan oleh Unit Akademik BPSBPSK untuk meningkatkan pencapaian pelajar SBP dalam peperiksaan SPM, khususnya bagi mata pelajaran elektif iaitu Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Pelajar yang mengikuti program ini dilatih sebagai pakar guru muda dalam kalangan pelajar, dengan harapan mereka dapat menjadi mentor untuk membantu rakan-rakan di sekolah. Selama tiga hari program ini berlangsung, para peserta dibimbing oleh guru-guru pakar dari segi penguasaan konsep dan teknik menjawab soalan bagi tiap-tiap mata pelajaran berkenaan.

Diharap apabila balik nanti, mereka dapat sampaikan kepada rakan-rakan di sekolah supaya semuanya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti, seterusnya merealisasikan hasrat semua pihak untuk meletakkan STAR Nombor 1 di Malaysia.

Selasa, 5 Oktober 2010

105 CALON STAR MENDUDUKI PEPERIKSAAN PMR

Pengetua, guru-guru dan calon PMR berdoa sebelum masuk ke dewan

Hari ini 105 calon Sekolah Tuanku Abdul Rahman mula berjuang untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan PMR. Berbekalkan persediaan yang komprehensif dan sistematik selama tiga tahun dengan kerjasama seluruh warga STAR, PIBG, STAROBA dan pegawai pendidikan di PPD, JPN dan BPSBPSK, mereka melangkah masuk ke dewan peperiksaan dengan penuh yakin dan bersemangat. Misi utama ialah untuk merealisasikan harapan semua pihak khususnya pengetua STAR, Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim untuk menjadikan STAR Nombor 1 di Malaysia. Misi ini tidak mustahil dicapai kerana kedudukan tertinggi tersebut pernah dicapai pada tahun 2006.

Sesi kaunseling khas bersama Pengetua Cemerlang STAR

Majlis Restu Ilmu Panitia Geografi

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin anjuran PIBG

Ceramah motivasi anjuran STAROBA oleh Y.Bhg. Dato' Dawa





Selasa, 21 September 2010

Lawatan Ketua Sektor Jaminan Kualiti

YM HAJI RAJA ABDUL RAHMAN BIN RAJA AMRAN, AMN., Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pelajaran Negeri Perak telah mengadakan lawatan rasmi ke STAR pada hari Selasa, 21 September 2010 bermula jam 9.00 pagi hingga jam12.00 tengah hari. Sempena lawatan tersebut beliau telah bertemu dengan calon-calon PMR 2010 dan menyampaikan harapan Jabatan Pelajaran Negeri Perak terhadap pelajar-pelajar STAR untuk membantu meningkatkan pencapaian negeri Perak dalam peperiksaan PMR nanti, memberikan panduan untuk menghadapi peperiksaan dan kata-kata perangsang untuk meningkatkan motivasi pelajar. Selepas itu beliau telah bertemu dengan guru-guru tingkatan 3 untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan bagi meningkatkan kualiti pendidikan khususnya di STAR dan di negeri Perak amnya. Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, Pengetua Cemerlang STAR turut menyampaikan taklimat berkaitan profil sekolah, kejayaan cemerlang yang diraih dalam bidang akademik dan kokurikulum hingga ke peringkat antarabangsa, hala tuju sekolah dan isu-isu semasa untuk menjadikan STAR sekolah nombor 1 di Malaysia.

Ahad, 5 September 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Salam aidilfitri daripada: Cikgu Zabidi, Puan Ruzita, Hafizuddin dan Amir Haziq

Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri kepada semua saudara mara, sahabat handai, pelajar dan bekas pelajar serta semua pengunjung blog saya ini.
Setelah sebulan menunaikan ibadah puasa, kini kita berada di ambang 1 Syawal. Sama-samalah kita meraikan Hari Raya Aidilfitri ini dengan penuh kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah puasa di madrasah Ramadan ini dengan penuh ketaatan dan istiqomah.
Selama kita berkenalan, berkomunikasi dan berinteraksi; ada kalanya mata terlihat sesuatu yang mengaibkan, ada kalanya telinga terdengar sesuatu yang tidak menyenangkan, ada kalanya hati berbisik persepsi negatif dan salah sangka, ada kalanya minda terfikir sesuatu yang menyesatkan, ada kalanya mulut terucap kata-kata yang menyentuh perasaan dan ada kalanya tingkah laku dan tindakan menyalahi adat resam dan batasan.
Oleh kerana itu, saya dengan penuh keinsafan dan rasa rendah diri ingin mengambil peluang di bulan Ramadan yang penuh barakah dan Syawal yang mulia ini mohon diampunkan segala dosa dan dimaafkan segala kesalahan, kesilapan dan kelemahan. Mudah-mudahan dengan bermaaf-maafan ini kita semua dapat hidup dalam suasana yang lebih harmoni dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Bagi mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita, sudilah ziarahi kami di hari raya nanti. Pada 1 Syawal kami akan berhari raya di Kg. Anak Kurau. Hari raya kedua pula bersama keluarga mertua di Taman Kota Tampan, Lenggong. Lepas itu bolehlah kunjungi kami di RPT Tapisan Air, Ulu Kinta.
Mudah-mudahan melalui pertemuan itu nanti dapat eratkan jalinan silaturrahim sesama kita agar hubungan terus berkekalan. Akhir kata saya sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.