Ahad, 22 Februari 2009

Seminar Teknik Menjawab Soalan PMR dan SPM


Seminar Teknik Menjawab Soalan PMR dan SPM telah diadakan selama 3 hari dari 20-22 Februari 2009. Para pelajar telah didedahkan dengan teknik menjawab soalan peperiksaan. Penceramahnya terdiri daripada guru-guru STAR sendiri. Banyak input berguna telah diberikan oleh warga pendidik selama 3 hari berlangsungnya bengkel tersebut. Para pelajar pula yang terdiri daripada calon PMR dan SPM 2009 menghadiri seminar ini dengan penuh semangat, walaupun agak sibuk membuat persediaan menghadapi Kejohanan Olahraga Tahunan. Melihat kepada kesungguhan para guru dan pelajar diharapkan pencapaian pelajar STAR akan terus meningkat dalam peperiksaan PMR dan SPM tahun ini. Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) telah memberi kerjasama yang erat dalam menjayakan seminar kali ini terutamanya dari segi kewangan. Diharapkan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak sekolah guru-guru, pelajar dan ibu bapa dalam menjayakan program kecemerlangan akademik sepanjang tahun ini akan membuahkan hasil yang membanggakan semua pihak.

Sabtu, 21 Februari 2009

CERAMAH MOTIVASI AZIZAN ALI (STAROBA)


Pada 16 Feb 2009 yang lalu pihak STAROBA Zon Utara telah membawa seorang tokoh sukan renang negara, Tuan Haji Azizan Ali untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada guru-guru dan para pelajar STAR. Beliau yang kini berusia 62 tahun adalah bekas pelajar STAR pada tahun 1962-1967. Ketika di sekolah dahulu, beliau telah dianugerahkan sebagai Olahragawan STAR pada tahun 1967.
Dalam ceramahnya beliau menyeru kepada pelajar STAR supaya berusaha keras mencipta kejayaan cemerlang hingga ke peringkat antarabangsa dalam apa juga bidang sama ada bidang akademik mahupun bidang kokurikulum. Beliau turut mencabar pelajar STAR hari ini, kalau beliau yang sudah berusia 62 tahun masih mampu mencipta rekod berenang mengelilingi Tasik Putrajaya dan berbasikal membabitkan jarak sejauh 44 km, beliau yakin pelajar yang masih muda remaja juga mampu melakukannya.
Tuan Haji Azizan berazam untuk mencipta rekod sebagai rakyat Malaysia paling tua berenang menyeberangi Selat Inggeris pada Julai depan. Matlamat utama beliau ialah untuk menunjukkan kepada orang Barat bahawa orang Melayu Islam Malaysia setanding dengan mereka. Beliau amat berharap kehadirannya dapat membakar semangat pelajar STAR untuk mengikut jejak langkahnya untuk membuktikan kepada dunia bahawa orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia mampu bersaing dengan sesiapa sahaja dalam pelbagai bidang.
Maklumat lanjut berkaitan tokoh sukan renang veteran ini boleh dibaca di laman web dan blog berikut:
1. Berita Pendidik
2. Laman Web STAROBA
3. Kosmo

Jumaat, 13 Februari 2009

TEKNIK BELAJAR BERKESAN

Prof Dr Khalid Mohamed Nor menghidangkan pembaca dengan beberapa motivasi yang mampu menjadi panduan berguna kepada pelajar demi mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Pengarang buku ini berjaya mengetengahkan beberapa panduan kepada pembaca menggunakan kaedah mudah lagi ringkas dengan menampilkan beberapa peta minda yang dapat menambat hati pelajar berbanding karya lain yang menggunakan pengisian lebih berat.

Antara panduan menarik yang disediakan kepada pembaca dalam buku setebal 303 halaman berharga RM28.50 sen senaskhah ini ialah kaedah mengurus masa dengan baik, membaca dengan cekap, menguatkan dorongan belajar, menangani daya pelemah dorongan belajar, meningkatkan daya ingatan, mengurangkan kelupaan, menyelesaikan masalah dan menajamkan pemikiran serta cara menyiapkan diri untuk peperiksaan. Prof Khalid yang menulis buku ini atas dasar bahawa buku panduan belajar yang ditulis dalam Bahasa Melayu semakin berkurangan di pasaran selain kebanyakannya bahan bacaan seperti ini di pasaran, lebih membincangkan aspek psikologi pelajar dan mengabaikan kaedah mahupun kemahiran belajar. Pembaca bakal tertarik dengan isi kandungan bab awal yang membincangkan mengenai dorongan, sikap, tabiat dan pengurusan masa serta cara menangani tekanan dan kegagalan secara lebih berkesan dan pendekatan pengarang mudah difahami pembaca terutama kelompok yang sememangnya mengalami masalah akademik.

Selain itu, buku ini menjelaskan pembelajaran berkesan dari segi emosi dan motivasi serta kemahiran membaca, menulis, mengingat, menyelesaikan masalah, menjana idea, mendengar di samping menggunakan internet selain menjelaskan beberapa isu seperti faktor pelajar cemerlang pada peringkat SPM, tetapi tidak cemerlang di matrikulasi atau STPM. Penulis sengaja mengajak pembaca untuk melihat kepentingan aspek pemahaman dan kecekapan dalam pembelajaran kerana baginya kejayaan pelajar dalam setiap subjek bergantung kepada tahap pemahaman serta kecekapan dalam pembelajaran setiap individu. Suatu hakikat yang tidak dapat ditolak, buku ini istimewa berbanding karya lain di pasaran kerana ia menggabungkan tiga aspek penting iaitu psikologi dan motivasi yang bukan saja sesuai untuk pelajar, malahan ibu bapa dan pendidik juga tidak sewajarnya ketinggalan memiliki buku ini. Bagi memudahkan pembaca memahami isi kandungan buku ini, pengarangnya turut melancarkan laman web www.efficiency.com sebagai langkah awal mempromosi dan memasarkan buku, selain memudahkan pembaca berhubung mahupun berdiskusi dengannya.

DR KHALID Mohamed Nor mendapat pendidikan di sekolah luar bandar di Kampung Parit Empat, Tanjung Karang, Selangor, sebelum dipilih ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, pada 1966 dan kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja Cawangan Putera di Sungai Besi, Selangor. Pada 1974, beliau mengikuti Kursus Kejuruteraan Elektrik di University of Liverpool, United Kingdom dengan biasiswa persekutuan selain dihadiahkan Liverpool Workingmen Scholarship atas pencapaian akademik yang cemerlang penulis ini. Tiga tahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di Institut Sains dan Teknologi, University of Manchester, England dan berjaya mendapatkan Sarjana Sains (Teknologi) dalam tempoh masa 14 bulan dan seterusnya mendapat ijazah PhD dalam tempoh 25 bulan. Beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik pada 1984 hingga 1986 dan dinaikkan pangkat sebagai prof madya (1987) selain dipilih menjadi Ahli Kanan Institut Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal (IEEE), persatuan teknikal yang tersohor di dunia. Minatnya dalam bidang penulisan mendorong beliau menulis dua buku dan 100 kertas akademik yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa dan dibentangkan pada persidangan antarabangsa. Penulis ini mendapat pengiktirafan sebagai prof penuh pada 1992 dan berkhidmat sebagai Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak 2005.

Info: Belajar dengan cekap dan berkesan. Pengarang: Prof Dr Khalid Mohamed Nor Tebal: 303 halaman Penerbit: Tiada dinyatakan Harga: RM28.50 senaskah Bintang: ***