Ahad, 17 Oktober 2010

PROGRAM PERFECT SCORE



Seramai 12 orang pelajar STAR bersama Cikgu King dan Cikgu Jamilullil telah mengikuti program Perfect Score Zon Utara di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping pada 15-17 Oktober 2010. Program ini dirancang dan dijalankan oleh Unit Akademik BPSBPSK untuk meningkatkan pencapaian pelajar SBP dalam peperiksaan SPM, khususnya bagi mata pelajaran elektif iaitu Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Pelajar yang mengikuti program ini dilatih sebagai pakar guru muda dalam kalangan pelajar, dengan harapan mereka dapat menjadi mentor untuk membantu rakan-rakan di sekolah. Selama tiga hari program ini berlangsung, para peserta dibimbing oleh guru-guru pakar dari segi penguasaan konsep dan teknik menjawab soalan bagi tiap-tiap mata pelajaran berkenaan.

Diharap apabila balik nanti, mereka dapat sampaikan kepada rakan-rakan di sekolah supaya semuanya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti, seterusnya merealisasikan hasrat semua pihak untuk meletakkan STAR Nombor 1 di Malaysia.

Selasa, 5 Oktober 2010

105 CALON STAR MENDUDUKI PEPERIKSAAN PMR

Pengetua, guru-guru dan calon PMR berdoa sebelum masuk ke dewan

Hari ini 105 calon Sekolah Tuanku Abdul Rahman mula berjuang untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan PMR. Berbekalkan persediaan yang komprehensif dan sistematik selama tiga tahun dengan kerjasama seluruh warga STAR, PIBG, STAROBA dan pegawai pendidikan di PPD, JPN dan BPSBPSK, mereka melangkah masuk ke dewan peperiksaan dengan penuh yakin dan bersemangat. Misi utama ialah untuk merealisasikan harapan semua pihak khususnya pengetua STAR, Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim untuk menjadikan STAR Nombor 1 di Malaysia. Misi ini tidak mustahil dicapai kerana kedudukan tertinggi tersebut pernah dicapai pada tahun 2006.

Sesi kaunseling khas bersama Pengetua Cemerlang STAR

Majlis Restu Ilmu Panitia Geografi

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin anjuran PIBG

Ceramah motivasi anjuran STAROBA oleh Y.Bhg. Dato' Dawa