Rabu, 25 Ogos 2010

Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Al-Quran



Pada 25 Ogos 2010 telah diadakan Majlis Berbuka Puasa bersama Pengetua dan Khatam Al-Quran di Surau Al-Hamdaniah, STAR. Majlis dimulakan pada jam 5.30 petang dengan khatam al-Quran beramai-ramai. Majlis penutup disempurnakan oleh Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, Pengetua Cemerlang STAR.

Ustaz Mohtar bin Haji Omar, mantan guru Pendidikan Islam STAR turut dijemput untuk menyampaikan tazkirah Ramadhan sementara menunggu masuknya waktu berbuka puasa.

Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, Dato' Dawa bin Abdullah, mantan Pengetua STAR dan mantan Pengarah Pelajaran Pulau Pinang menyampaikan ceramah umum. Selepas itu beliau menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar-pelajar projek khas.

Harapan Pengetua STAR ialah supaya para pelajar STAR dapat membaca dan memahami al-Quran serta menghayatinya dalam kehidupan seharian. Setiap pelajar diminta khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali setahun.

Selasa, 24 Ogos 2010

Majlis Berbuka Puasa Black House



Pada 23 Ogos 2010 (Isnin), Black House telah mengadakan majlis berbuka puasa untuk meraikan kejayaan pasukan bolasepak bawah 16 tahun yang menjuarai kejohanan bolasepak antara rumah (Striking STAR) edisi pertama 2010. Majlis ini diadakan di Restoran Lan's Catering, Padang Polo, Ipoh bermula jam 6.45 petang hingga jam 9.00 malam.

Warga Black House amat berbangga kerana Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, Pengetua Cemerlang STAR sudi meluangkan masa berbuka puasa bersama-sama mentor Encik Yahaya Daud, Cikgu Zabidi (house master), guru-guru Black House iaitu Cikgu Azli dan Cikgu Safarizwan dan semua pemain pasukan bolasepak Black House. Turut hadir ialah Cikgu Azhar, Cikgu Azrul, Khairuddin (house kapten), Zaim (team manager) dan Haikal serta Muhammad Aslam (anak Pengetua).

Pelbagai makanan yang dihidangkan memang sedap dan menyelerakan. Semua yang hadir berpuas hati dan sangat kenyang. Diharap tahun hadapan lebih banyak kejayaan dapat diraih oleh Black House supaya dapat makan sedap macam ini lagi.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Program Pementoran Black House Ke-3

Ucapan Tuan Haji Abdul Hashim, Pengetua Cemerlang STAR


Pada 8.8.2010 (Ahad) telah berlangsung Majlis Perjumpaan Mentor kali ke-3 dengan ahli Black House dengan tema Lambaian Ramadhan bertempat di Bilik Rehat Black House. VIP yang hadir ialah Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, Pengetua Cemerlang STAR.

Pertemuan kali ini dimulakan dengan makan tengah hari di Dining Hall sekolah. pada jam 1.00 petang. Team mentor Black House yang terdiri daripada Bro Fathil, Bro Yahaya Daud, Bro Shahrom dan Cikgu Zabidi makan bersama-sama dengan team mentor The Red Riddlers, iaitu Bro Tanzil Md Noor, Bro Hj Osman, Bro Anoir Jalil, Bro Sahul Hamid Abdul Kabir dan Bro Norizan Tanzali.

Aktiviti dimulakan selepas solat Zohor di Surau Al-Hamdaniah. Anakanda Mohd Azam, the first speaker in the school debating team, secara spontan dilantik menjadi pengemudi majlis.

Cikgu Zabidi membuat presentation yang amat menarik dan memberikan maklumat penting tentang Black House. Selepas presentation oleh Cikgu Zabidi, telah diadakan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Bro Fathil kepada dua orang pelajar yang paling banyak menyumbang markah untuk pemarkahan sistem rumah, iaitu Adik Luqmannurhakim, tingkatan 3A (Olahraga dll) dan Adik Mohd Azam, tingkatan 5 (Bahas dll).

Kemudian Bro Fathil tampil dengan menyampaikan salam Presiden STAROBA, Datuk Mohd Nasir. Beliau mengingatkan pelajar bahawa Datuk Presiden STAROBA dan Pengetua Cemerlang STAR adalah dari Rumah Hitam. Oleh itu beliau mengajak semua pelajar supaya bersama-sama meningkatkan usaha untuk mencapai kecemerlangan seperti kedua-dua tokoh tersebut. Ucapan beliau menerima tepukan gemuruh daripada semua yang hadir.

Selepas itu Bro Yahaya (Tok Wan) diamanahkan memberi sedikit tazkirah tentang Ramadhan. Suasana senyap dan khusyuk apabila Tok Wan yang pernah menjuarai Tilawah Al-Quran peringkat Perak Tengah pada tahun 70-an, membaca surah Al-Baqarah, ayat 183.

Majlis kali ini diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Haji Abdul Hashim bin Abdul Karim, Pengetua Cemerlang STAR. Semua mentor dan pelajar amat terharu dan teruja dengan ucapan beliau yang penuh bersemangat memberikan kata-kata perangsang kepada pelajar supaya meningkatkan usaha untuk mencapai kecemerlangan dan menjadikan STAR sekolah nombor 1 di Malaysia.

Selepas itu, Bro Yahaya menyampaikan sumbangan jersi kepada Pengetua untuk Black House dan sekolah. Bro Tanzil turut menyampaikan sumbangan majalah kepada Pengetua untuk Black House dan sekolah.

Majlis diakhiri dengan jamuan pulut durian. Buah durian dibawa khas dari Batu Kurau oleh Cikgu Zabidi manakala pulut dan santan pula dibawa khas dari Teluk Intan oleh Bro Yahaya.

Durian Batu Kurau Pulut Teluk Intan,
Bertemu di STAR menjadi korban;
Ditabur gula disiram santan,

Selesai 100 biji haram tak perasaan.

Terima kasih diucapkan kepada team mentor Black House yang bersusah payah hadir walau terpaksa mengetepikan semua komitmen lain dan cabaran perjalanan yang mencabar: Bro Fathil dan Bro Shahrom Mokhtar dari Subang Jaya, Azimuddin Mat Isa terpaksa meredah perjalanan lebih mencabar dari Bentong Pahang dan Bro Yahaya dari Teluk Intan yang jenuh mengisahkan pulut dan santan.

Semua warga Black House amat berbangga kerana sepanjang majlis berlangsung kami ditemani tiga rakan mentor dari the Red Riddlers. Kehadiran Bro Tanzil, Osman dan Anoir telah menyuntik semangat dan keyakinan yang amat berharga buat kami untuk meneruskan usaha ini. Cikgu Zakaria, Penolong Kanan HEM STAR turut hadir bagi menyemarakkan lagi perjalanan program ini.

Kehadiran seluruh warga Black House dengan pakaian seragam warna hitam benar-benar membuktikan kesungguhan untuk bersatu menimba manfaat yang maksima dari majlis ini. Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua, STAR dan starian.