Khamis, 11 Mac 2010

SPM 2009: STAR Terbaik di Perak

IPOH 11 Mac - Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini muncul sebagai sekolah terbaik Perak dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang diumumkan hari ini.
Sebelum ini, sekolah tersebut juga adalah sekolah terbaik di negeri ini bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009.
Buat julung kali, keputusan peperiksaan SPM tersebut diumumkan di sekolah terbaik bagi negeri ini dan bukan di Jabatan Pelajaran Negeri Perak seperti kebiasaan.
Menurut Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Radzi Abd. Jabar, STAR mencatatkan gred purata sekolah (GPS) 1.71 dan mendahului empat buah sekolah lain yang turut cemerlang dalam keputusan SPM kali ini.
''Sebanyak lima buah sekolah di negeri ini dikategorikan cemerlang selepas memperoleh GPS antara antara 0.00 hingga 2.25 dalam peperiksaan SPM 2009.
''Sekolah terbaik ialah STAR, diikuti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gopeng, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sains Teluk Intan dan SMK Raja Tun Azlan Shah di Taiping," katanya.

Rabu, 3 Mac 2010

STAR Jalin Kerjasama Dengan Wright Robinson College, Manchester

Kunjungan Mr N. Beischer, Ketua Guru (Headteacher) Wright Robinson College, Manchester (WR) ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman pada 2 dan 3 Mac 2010 membuka jalan ke arah menjalin kerjasama peringkat antarabangsa, sebagai satu keperluan untuk mendapat tempat sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Mr N. Beischer sangat mesra dengan pelajar

Mr N. Beischer bersama seorang guru sukan dari WR ini adalah sebahagian daripada peserta program ‘Internasional Inspiration’ anjuran British Council dan Kementerian Pelajaran Malaysia sempena penganjuran Sukan Olimpik di London tahun depan. Program yang berlangsung selama dua tahun ini, bertujuan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk bergiat aktif dalam sukan dan bertukar kepakaran melatih bakat baru dalam bidang sukan yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Pn Abidah dan Ms Susan bincang program Bahasa Inggeris

Selama dua hari berada di STAR, kedua-dua pihak telah mengenal pasti bidang yang boleh diketengahkan dalam rangkaian kerjasama tersebut. Selain sukan ragbi yang menjadi fokus utama, pihak WR juga sangat berminat untuk bekerjasama dalam bidang Bahasa Inggeris. Kedua-dua bidang ini merupakan niche area STAR sebagai sekolah kluster kecemerlangan.
Program ini diharap dapat menjadi permulaan terbaik untuk mengorak langkah ke arena antarabangsa dengan lebih pantas dan memberi impak yang besar kepada kecemerlangan STAR dalam masa terdekat. Yang penting, semua pihak yang berkepentingan perlu berpadu tenaga dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan segala hasrat dan sasaran kita dapat direalisasikan.