Sabtu, 28 Mac 2009

MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG KE-49, 2009


Majlis Anugerah Cemerlang Ke-49, tahun 2009 Sekolah Tuanku Abdul Rahman telah diadakan pada 28 Mac 2009 bermula jam 9.00 pagi di Dewan STAR. Tetamu kehormat yang menyempurnakan perasmian dan menyampaikan anugerah kepada para pelajar cemerlang ialah Puan Hajah Norlia bt Mohd Shuhaili, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan SBP/Kluster yang mewakili Pengarah bahagian berkenaan.
Muhammad Farid Farhan bin Sahime yang memperoleh 11A1 telah dipilih sebagai Pelajar Terbaik SPM 2008 dan Pelajar Terbaik Mata Pelajaran Kimia. Manakala Syazwan Azree bin Sulaiman pula menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Semua Bidang. Anugerah lain yang disampaikan pada majlis tersebut ialah Pelajar Cemerlang SPM 2008 (19), Pelajar Terbaik Mata Pelajaran SPM 2008 (10), Pelajar Cemerlang PMR 2008 (86), Pelajar Cemerlang Dalam Tingkatan 2008 (9), Anugerah Bahasa Antarabangsa (Bahasa Arab (3), Bahasa Perancis (5), Bahasa Jepun (6) dan Bahasa Mandarin (3)), Anugerah Khas PIBG (4), Anugerah Kepimpinan Pelajar (3) dan Anugerah Panitia Cemerlang SPM 2008 kepada guru-guru.
Selepas selesai majlis tersebut, Puan Hajah Norlia bt Mohd Shuhaili turut merasmikan Bilik Pengurusan Bitara (Bilik Dokumentasi) dan Taman Herba berhampiran Pusat Sumber.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pelajar cemerlang yang telah menerima anugerah dalam kategori masing-masing. Semoga kecemerlangan anda diteruskan hingga ke peringkat pengajian tinggi dan dalam kerjaya anda pada masa akan datang. Jangan lupa ucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang mendidik dan membesarkan anda serta kepada guru-guru yang telah memberikan ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada anda.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada guru-guru yang telah memberikan komitmen yang tinggi dengan penuh dedikasi untuk melahirkan pelajar-pelajar cemerlang di STAR. Akhir sekali tahniah diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Majlis Anugerah Cemerlang ini yang telah bertungkus lumus membuat persediaan bagi menjayakan majlis pada hari ini.

Jumaat, 13 Mac 2009

KEPUTUSAN SPM 2008 MENINGKAT


Keputusan SPM 2008 yang diumumkan pada 12.3.2009 menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2007. Daripada 136 calon yang mengambil peperiksaan SPM tahun lalu, 19 orang calon telah mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil, termasuk dua orang calon mendapat 11 1A dan 7 calon mendapat 10 1A.
Secara keseluruhannya, pencapaian gred purata STAR meningkat dari 2.67 pada tahun 2007, kepada 2.456 pada tahun 2008. Pencapaian mengikut mata pelajaran pula menunjukkan 8 mata pelajaran meningkat dan 2 mata pelajaran mengalami kemerosotan, iaitu Biologi dan Pendidikan Islam.
Walau bagaimanapun kedudukan STAR jika dibandingkan dengan SBP lain agak kurang memuaskan. Di Perak sahaja, STAR berada pada kedudukan terakhir dalam kalangan 5 SBP di negeri ini. Kedudukan di kalangan semua SBP belum muktamad lagi, tetapi setakat berita ini ditulis STAR berada di kedudukan pertengahan.
Pelajar-pelajar yang mencatat keputusan cemerlang semua A dalam peperiksaan SPM 2008 adalah seperti berikut:
1.Muhammad Farid Farhan bin Sahime (11 1A)
2.Muhammad Arif bin Ahmad Fuad (11 1A)
3.Muhammad Faiz Fikri bin Sahime (10 1A)
4.Mohd Khairul Hafiz bin Mohd Fauzi (10 1A)
5.Muhammad Zuhair bin Hasnol Zam Zam (10 1A)
6.Ahmad Zaidulkhair bin Haji Zainal (10 1A)
7.Imaduddin bin Hamzah (10 1A)
8.Ahmad Shazwan bin Mohd Kharip Shah (10 1A)
9.Muhammad Nazmi bin Shaarani (10 1A)
10.Muhammad Firdaus bin Roslan (10 1A)
11.Ahmad Hamidi bin Abdul Rahim (9 1A 1 2A)
12.Mohamad Sufian bin Ayub (9 1A 1 2A)
13.Mohd Arif bin Ismail (9 1A 1 2A)
14.Muhammad Syazwan bin Mohamed Amin (9 1A 1 2A)
15.Haneef bin Amer Azhar (8 1A 2 2A)
16.Muhammad Zaid bin Zahri (8 1A 2 2A)
17.Ahmad Naufal bin Anuar (6 1A 4 2A)
18.Ahmad Husaini bin Abdul Rashid (5 1A 5 2A)
19.Noor Mujahir bin Noor Muhammad (5 1A 5 2A)
Encik Mohmad Guffri bin Alpiah, Pengetua Kanan STAR ketika mengumumkan keputusan SPM tersebut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang. Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru, PIBG, STAROBA dan para pelajar sendiri yang berganding bahu berusaha keras bagi memastikan kejayaan cemerlang STAR dalam peperiksaan berkenaan.
Seterusnya beliau menyeru kepada semua pihak berkenaan agar terus meningkatkan usaha bagi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan pada tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang.

Khamis, 5 Mac 2009

KEM KEMBARA ROHANI

Pada 6 - 9 Mac 2009 akan diadakan Kem Kembara Rohani di STAR . Kem ini dianjurkan bersama oleh Alumni Pelajar Islam SBP (APIS) dan Leadership Qualities Inventors dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam STAR. Peserta kem ini terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 2.
Kem yang bertemakan persoalan "Ke mana hala tuju anda?" menjurus ke arah pembentukan peribadi dalam diri pelajar. Para peserta akan didedahkan dengan pelbagai input berteraskan pengetahuan Islam.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada bekas pelajar STAR yang mengendalikan program ini, iaitu Saudara Muhammad Harinn Hizhadi Mukhtar (Ketua Umum STAR 2008) selaku Pengerusi, Mohamad Zaidi Sarifuddin (Penyelia), Muhammad Muaz Ghazali (Komandan), Muhammad Arif Ahmad Fuad (Bendahari) dan Muhamad Syazwan Aswat (Urusetia) serta beberapa orang ahli APIS yang terlibat.